SANDAKAN, 18 Julai 2026 – National Training Week (NTW) edisi keempat hari ini dilancarkan sebagai kesinambungan komitmen Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkasa budaya pembelajaran sepanjang hayat serta memperluas akses kepada peluang peningkatan kemahiran untuk seluruh rakyat Malaysia.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Masyarakat Sandakan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, menjadikan Sandakan sebagai lokasi pertama di Borneo menjadi tuan rumah kepada pelancaran NTW sejak inisiatif ini diperkenalkan pada tahun 2023.
Bertemakan ‘Pelajari, Alami, Kuasai’, NTW 2026 akan berlangsung dari 20 hingga 26 Julai 2026 di seluruh negara, dengan ribuan kursus dan aktiviti pembelajaran percuma terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira umur, latar belakang mahupun pekerjaan, termasuk pelajar, pekerja, usahawan, pencari kerja, pekerja gig, suri rumah dan pesara.
Antara kursus yang ditawarkan sempena NTW 2026 ialah program AI Prompting, pemasaran digital, seni animasi AI, pengendalian dron, sokongan autisme, kesihatan dan bantuan pergerakan warga emas, kursus pelbagai bahasa, kemahiran teknikal dan penyelenggaraan kenderaan, keusahawanan dan banyak lagi.
Berucap ketika melancarkan NTW 2026, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata National Training Week merupakan inisiatif penting kerajaan untuk memperluas akses kepada peluang peningkatan kemahiran serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“National Training Week bukan sekadar program tahunan, tetapi merupakan satu gerakan nasional untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan tema ‘Pelajari, Alami, Kuasai’, kita mahu memastikan peluang meningkatkan kemahiran dapat diakses oleh semua, tanpa mengira umur, latar belakang atau lokasi. Apa yang penting ialah kesediaan untuk terus belajar kerana apabila rakyat terus meningkatkan kemahiran, negara akan terus maju,” ujar Datuk Khairul Firdaus.
Tambah beliau “Pemilihan Sandakan sebagai lokasi pelancaran bukan sekadar satu penghormatan kepada negeri ini, malah satu pengiktirafan bahawa Sabah memainkan peranan penting dalam agenda pembangunan modal insan negara.”
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar berkata pembelajaran sepanjang hayat perlu diterjemahkan kepada peluang pembelajaran yang mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
“Pembelajaran sepanjang hayat bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dan atas keperluan inilah National Training Week diwujudkan. National Training Week akan berlangsung dari 20 hingga 26 Julai di seluruh negara. Sepanjang minggu ini, ribuan kursus ditawarkan secara percuma hasil kerjasama kerajaan, pihak industri, institusi latihan dan pelbagai rakan strategik yang berganding bahu bagi membawa lebih banyak peluang pembelajaran kepada rakyat,” katanya.
Majlis pelancaran hari ini turut menyaksikan penyampaian insentif kepada 149 pelajar cemerlang SPM 2025 Parlimen Batu Sapi sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik mereka serta galakan untuk terus melanjutkan pembelajaran dan meningkatkan kemahiran.
Pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti sepanjang hari di karnival latihan yang di adakan sempena pelancaran NTW, termasuk sesi perkongsian ilmu, latihan percuma, reruai penyedia latihan, pameran interaktif serta khidmat nasihat berkaitan pembangunan kerjaya dan peningkatan kemahiran.
Kempen NTW 2026 akan diteruskan di seluruh negara sebelum melabuhkan tirainya di Majlis Kemuncak NTW 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Julai 2026 di Pulau Pinang.
Orang ramai boleh mengakses portal rasmi NTW sepanjang tahun untuk meneroka pelbagai peluang pembelajaran dan kursus-kursus latihan yang ditawarkan di www.nationaltrainingweek.gov.my.