PERMATANG PAUH, 25 Julai 2026 – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, hari ini merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan atau National Training Week (NTW) 2026, bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow dan Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, sekali gus memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peluang peningkatan kemahiran yang berkualiti.
Majlis yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Azman bin Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Pengarah Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Datuk Rusli bin Jaafar; dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir bin Aziz, dengan lebih 12,000 peserta dan pengunjung yang terdiri daripada penyedia latihan, institusi pendidikan, majikan, pemain industri, agensi kerajaan, para pelajar serta pelbagai pihak berkepentingan yang bersama-sama memperkukuh ekosistem pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran negara.
Kini memasuki tahun keempat penganjurannya, NTW terus membuktikan komitmen HRD Corp bersama KESUMA dalam menjadikan pembelajaran sebagai budaya hidup rakyat Malaysia.
Bertemakan ‘Pelajari. Alami. Kuasai.’ (Learn. Grow. Elevate.), NTW menyediakan akses percuma kepada ribuan peluang latihan dan pembangunan kemahiran untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, latar belakang mahupun lokasi.
Sehingga 24 Julai 2026, NTW 2026 telah merekodkan 8,682 kursus yang ditawarkan oleh 1,619 penyedia kursus, dengan 674,818 penyertaan direkodkan di seluruh negara. Pencapaian ini mencerminkan sambutan memberangsangkan daripada rakyat Malaysia terhadap budaya pembelajaran sepanjang hayat serta komitmen pelbagai pihak dalam memperluaskan akses kepada latihan berkualiti.
Penyertaan dalam NTW 2026 turut mencerminkan sifat inklusif inisiatif ini apabila peserta termuda berusia tiga tahun, manakala peserta paling berusia ialah 89 tahun, membuktikan bahawa pembelajaran sepanjang hayat sememangnya terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan ketika berucap berkata, aset yang paling penting dan utama bagi sesebuah negara bukanlah sumber aslinya, tetapi sumber manusianya.
“Jika Malaysia ingin mencapai kejayaan yang lebih besar dan terus mencipta kemakmuran untuk rakyatnya, negara perlu proaktif untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa berpeluang meningkatkan kualiti kemahiran yang dimiliki serta didedahkan kepada kemahiran baharu agar terus relevan dalam ekonomi semasa dan masa depan,” ujar Yang Berhormat Dato’ Sri Ramanan.
“Bagi memastikan usaha seperti ini dapat dikendalikan dengan baik, kita memerlukan institusi yang amanah, kukuh dan mempunyai kepakaran dalam pembangunan bakat negara. Di sinilah peranan HRD Corp menjadi amat penting sebagai institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui pembangunan bakat dan modal insan negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir bin Aziz berkata pencapaian NTW 2026 mencerminkan kejayaan usaha bersama dalam memperluaskan akses kepada pembelajaran berkualiti serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Setakat 24 Julai 2026, hampir 675,000 penyertaan telah direkodkan menerusi lebih 8,600 kursus yang ditawarkan oleh lebih 1,600 penyedia latihan di seluruh negara. Sambutan ini mencerminkan kesungguhan rakyat Malaysia untuk terus belajar serta komitmen kukuh kerajaan, industri dan penyedia latihan dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. HRD Corp akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan semua pihak bagi memastikan peluang meningkatkan kemahiran terus dapat diakses oleh semua rakyat Malaysia, bukan sahaja semasa NTW, malah sepanjang tahun,” kata Dato’ Shamir .
Sepanjang NTW 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 26 Julai, rakyat Malaysia berpeluang mengikuti pelbagai latihan secara fizikal, dalam talian dan hibrid merangkumi kemahiran digital, teknologi, penguasaan AI, keusahawanan, TVET, kewangan, kreativiti, pembangunan peribadi serta pelbagai lagi bidang yang memenuhi keperluan ekonomi masa kini dan masa hadapan.
Majlis Kemuncak NTW 2026 yang berlangsung selama dua hari ini turut menampilkan pameran interaktif, demonstrasi teknologi, bengkel kemahiran, aktiviti pembelajaran serta penyertaan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri yang bersama-sama menyokong agenda pembangunan modal insan negara.
Kemuncak penganjuran ini akan turut menyaksikan pelepasan (flag-off) larian Learn-A-Thon pada hari kedua di UiTM Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh, melibatkan penyertaan seramai 3,500 peserta sebagai simbol komitmen kolektif dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dan memperluaskan akses kepada pembangunan kemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Walaupun NTW berlangsung selama seminggu, namun rakyat Malaysia masih boleh mengakses pelbagai peluang latihan percuma sepanjang tahun menerusi portal rasmi NTW yang menghimpunkan kursus daripada ratusan penyedia kursus di seluruh negara.
Inisiatif ini memastikan peluang untuk meningkatkan kemahiran sentiasa terbuka kepada semua, selaras dengan aspirasi KESUMA dan HRD Corp dalam melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan.