KUALA LUMPUR, 17 April 2026 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah melengkapkan proses penstrukturan semula organisasi secara menyeluruh, menandakan peralihan ke arah pelaksanaan dan penyampaian, selaras dengan agenda MADANI dalam membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.
Dilaksanakan sepanjang dua bulan yang lalu, penstrukturan ini merangkumi penyusunan semula yang menyeluruh, tadbir urus, pengurusan dan operasi, memperkukuh integriti institusi serta mewujudkan struktur operasi yang lebih jelas dan berakauntabiliti.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata organisasi kini berada dalam jajaran yang jelas bagi menyokong hala tuju yang ditetapkan oleh Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara.
Beliau menyatakan bahawa kepimpinan Dato’ Sri Ramanan telah memainkan peranan penting dalam membentuk momentum dan disiplin pelaksanaan ‘reset’ ini, sekali gus mencerminkan pendekatan yang tersusun dan berstruktur dalam menangani cabaran institusi yang kompleks.
Hala tuju ini mencerminkan penekanan berterusan Dato’ Sri Ramanan terhadap pengukuhan tadbir urus, penambahbaikan penyampaian serta memastikan sistem latihan negara kekal berwibawa, relevan dengan industri dan berimpak tinggi di bawah kerangka MADANI.
“Reset telah selesai. Kita kini bergerak ke hadapan dengan disiplin, hala tuju yang jelas dan pelaksanaan,” kata Dato’ Shamir.
Di peringkat pengurusan, isu-isu legasi daripada dapatan audit dan penemuan kawal selia sebelum ini telah sebahagian besarnya diselesaikan, dengan penyerahan kini dibuat kepada pihak berkuasa.
Penstrukturan organisasi telah disempurnakan sepenuhnya, termasuk penempatan semula dan penyelarasan berdasarkan kompetensi dan fungsi pekerja. Bidang kritikal seperti Perundangan, Audit dan Penguatkuasaan telah diperhebat bagi memantapkan lagi tadbir urus dan pematuhan, manakala struktur operasi telah diperkemas untuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan. Fungsi strategik turut semula bagi memastikan fokus dan akauntabiliti.
Sebagai sebahagian daripada reset ini, HRD Corp telah memperketat kawalan terhadap tuntutan latihan dan penggunaan levi bagi memulihkan pemantauan dan akauntabiliti. Sebelum ini, tuntutan boleh dikemukakan selepas latihan dilaksanakan, termasuk pada hari yang sama, sekali gus mengehadkan pemantauan yang berkesan.
Di bawah prosedur operasi standard yang baharu, latihan hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan awal diperoleh, dengan tempoh masa dan jangka pelaksanaan yang ditetapkan. Ini membolehkan HRD Corp menggerakkan pasukan penguatkuasaan di lapangan bagi memastikan keterlihatan yang penuh serta melakukan pengesahan aktiviti latihan.
HRD Corp juga telah mengisi kekosongan kepimpinan utama dengan pelantikan Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Pegawai Operasi, jawatan yang sebelum ini kosong, di samping mengetengahkan bakat dalaman ke jawatan kanan dan pengurusan bagi memperhebat kesinambungan dan prestasi organisasi.
Dalam masa yang sama, HRD Corp telah melengkapkan perancangan bajet yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah. Ini termasuk peruntukan strategik yang signifikan bagi mempercepat keutamaan pembangunan tenaga kerja negara, dengan perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dato’ Shamir menegaskan bahawa HRD Corp tidak lagi akan ditakrifkan sebagai cabaran masa lalu, sebaliknya oleh keupayaannya menunjukkan hasil di bawah tekanan.