BERITA & ARTIKEL

HRD CORP BAWA SIRI JELAJAH ‘POCKET TALK’ KE ALOR GAJAH, PERLUAS AKSES RAKYAT KEPADA PELUANG PEMBANGUNAN KEMAHIRAN

ALOR GAJAH, 18 Oktober 2026 – Human Resource Development Corporation (HRD Corp), terus memperkukuh usaha mendekati majikan dan masyarakat melalui penganjuran Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat di Alor Gajah, Melaka.

Memasuki siri keenam penganjurannya, program ini menjadi platform komunikasi dan libat urus secara langsung bagi meningkatkan pemahaman majikan dan rakyat terhadap pelbagai inisiatif, kemudahan serta sokongan yang disediakan oleh HRD Corp dalam pembangunan kemahiran dan tenaga kerja negara.

Program yang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, turut membuka ruang interaksi dua hala antara Kerajaan, majikan dan masyarakat bagi mendapatkan maklum balas serta memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi, khususnya dalam aspek latihan, peningkatan kemahiran dan pembangunan kerjaya.

YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata, usaha mendekati rakyat melalui program seperti Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ penting bagi memastikan dasar dan inisiatif Kerajaan bukan sahaja diketahui, malah difahami dan dimanfaatkan oleh golongan sasar.

“Dasar dan inisiatif Kerajaan tidak sepatutnya hanya di atas kertas. Kita mahu rakyat mengetahui peluang yang tersedia, memahami bagaimana mereka boleh memanfaatkannya dan melihat sendiri bagaimana peluang tersebut dapat membantu meningkatkan kemahiran, pekerjaan serta kehidupan mereka,” katanya.

“Pada masa yang sama, program seperti ini memberi ruang kepada Kerajaan untuk mendengar sendiri keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh majikan serta rakyat. Maklum balas ini penting supaya usaha pembangunan kemahiran dapat terus memenuhi keperluan sebenar masyarakat dan industri,” tambah YB Dato’ Sri Ramanan.

Di Melaka, sejumlah 2,867 majikan telah berdaftar dalam ekosistem HRD Corp, melibatkan 133,171 pekerja. Sebanyak 6,995 permohonan geran latihan telah diluluskan, melibatkan 39,489 tempat latihan, manakala 24,729 peserta telah menerima latihan bagi memperkukuh kemahiran dan keupayaan tenaga kerja negeri.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dato’ Shamir Aziz berkata, penganjuran Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan HRD Corp untuk memperkukuh hubungan dengan majikan dan masyarakat, selain memastikan kemudahan serta peluang latihan yang disediakan dapat dimanfaatkan secara optimum.

“Melalui pendekatan turun padang seperti ini, kami mahu lebih ramai majikan dan pekerja memahami kemudahan serta sokongan yang tersedia melalui HRD Corp. Kami juga mahu menggalakkan majikan supaya melihat latihan sebagai pelaburan jangka panjang dalam membangunkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, produktif dan berdaya saing,” katanya

“Keutamaan kami bukan sekadar meningkatkan jumlah penyertaan latihan, tetapi memastikan latihan yang dilaksanakan benar-benar relevan dengan keperluan industri, dapat diaplikasikan di tempat kerja dan memberi nilai tambah kepada perkembangan kerjaya pekerja,” ujar beliau.

Penganjuran Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan HRD Corp untuk memperluas akses kepada peluang pembelajaran dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, meneruskan momentum National Training Week (NTW) 2026.

Selain mendekati majikan dan rakyat secara langsung, usaha ini turut disokong melalui portal NTW yang terus menyediakan lebih 8,000 kursus percuma untuk dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka.

Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat akan terus menjadi platform untuk memperkukuh hubungan dan komunikasi antara HRD Corp dengan majikan serta masyarakat, di samping memperluas kesedaran mengenai kepentingan peningkatan kemahiran, latihan semula dan pembelajaran sepanjang hayat dalam membangunkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya saing.

RESOURCES

RESOURCES